EPL

Mane, Salah, Aubameyang kongsi kasut emas

LONDON: Pemain Liverpool Sadio Mane dan Pierre-Emerick Aubameyang dari Arsenal masing-masing menjaringkan dua gol pada aksi terakhir Liga Perdana Inggeris malam tadi untuk berkongsi Kasut Emas penjaring terbanyak dengan pemenang tahun lalu Mohamed Salah.



Pencapaian tiga penyerang Afrika itu membanggakan pengendali Liverpool, Juergen Klopp yang memainkan peranan penting dalam perkembangan karier ketiga-tiga pemain berkenaan.

Masing-masing meledak 22 gol dalam kempen liga musim ini selepas penyerang Senegal, Mane menjaringkan kedua-dua gol Liverpool ketika menewaskan Wolverhampton Wanderers 2-0 untuk menyertai rakan sepasukannya, Salah.

Penyerang Gabon, Aubameyang meneruskan rentak cemerlangnya ketika meledak hatrik pada separuh akhir Liga Europa dengan dua gol di babak kedua yang membantu Gunners menewaskan Burnley 3-1 malam tadi.

Walaupun 44 gol dijaringkan Salah dan Mane belum cukup untuk memberikan kejuaraan liga buat Klopp dan Liverpool, pengendali dari Jerman itu masih boleh berbangga dengan sentuhannya.

“Auba juga?” kata Klopp merujuk kepada pemain yang pernah dibimbingnya ketika di Borussia Dortmund.




“Adakah mereka mempunyai tiga kasut (emas)? Bagus. Mereka semua pemain-pemain saya.”

Jumlah 22 gol adalah yang paling rendah untuk penjaring terbanyak sejak musim 2010-11 di mana Dimitar Berbatov (Manchester United) dan Carlos Tevez (Manchester City) berkongsi Kasut Emas selepas masing-masing menjaringkan 20 gol.

Salah, yang meledak 32 gol musim lalu, tidak begitu tajam musim ini berbanding kempen 2017-18 tetapi dia dan Mane berjaya mengatasi penjaring terbanyak Manchester City, Sergio Aguero dengan kelebihan satu gol.

Namun penyerang Argentina itu, yang menyamai rekod Thierry Henry dalam menjaringkan 20 atau lebih gol untuk lima musim berturut-turut sepanjang era Liga Perdana, meledak gol penting ketika menyamakan kedudukan selepas Brighton mendahului City pada aksi penentuan malam tadi. – REUTERS



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!