Liga Malaysia

Sumareh boleh didaftar sebagai pemain tempatan berkuatkuasa serta-merta

Malaysian Football League (MFL) telah meluluskan permohonan Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) untuk mendaftarkan pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia berkuatkuasa hari ini.



Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dalam satu kenyataan kepada media menjelaskan Ahli Lembaga Pengarah MFL menerima rayuan pasukan Pahang untuk mendaftarkan Sumareh, pemain kelahiran Gambia sebagai pemain tempatan pada Jendela Perpindahan Pertama musim 2019.

“Peraturan Manual Liga Malaysia menetapkan syarat bagi pemain naturalisasi hanya boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan 5 tahun selepas pemain tersebut mendapat pasport warganegara yang sah.

“Ini bermaksud Sumareh boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan mulai tahun 2023. Walaubagaimanapun, selepas penelitian pihak MFL, Sumareh didapati telah bermastautin di Malaysia sejak umur 12 tahun.

“Selepas perbincangan yang dilakukan, keputusan telahpun dicapai oleh Lembaga Pengarah MFL pada 28 September 2018 untuk membuat pengecualian syarat pendaftaran 5 tahun selepas pemain tersebut mendapat passport warganegara yang sah dan membenarkan Sumareh didaftar sebagai pemain tempatan bukan lagi lima tahun tetapi hanya satu tahun dari tarikh permohonan PBNP iaitu dari 2 Mac 2019.

“Menurut keputusan yang dicapai oleh Lembaga Pengarah MFL pada 28 September 2018 itu, PBNP hanya boleh mendaftar Sumareh sebagai pemain tempatan dari 2 Mac 2019.

“PBNP pula kemudian telah membuat rayuan untuk membenarkan Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam Jendela Perpindahan Pertama oleh kerana tarikh 2 Mac 2019 tersebut adalah tarikh selepas penutupan Jendela Perpindahan Pertama musim 2019.




“Namun selepas pertimbangan yang sewajarnya oleh Lembaga Pengarah MFL dimana pemain tersebut telahpun mewakili pasukan kebangsaan Malaysia dan lebih-lebih lagi berjaya membawa pasukan kebangsaan ke peringkat akhir Piala AFF 2018, Lembaga Pengarah MFL telah mengambil keputusan untuk membenarkan permohonan kedua pasukan PBNP untuk membenarkan pendaftaran Sumareh dalam Jendela Perpindahan Pertama musim 2019.

“Sebagai suatu usaha yang mempunyai anjakan paradigma ke arah penambah baikkan Liga Malaysia, Lembaga Pengarah MFL percaya bahawa keputusan ini adalah suatu keputusan yang telus dan adil kepada pasukan PBNP dan juga pemain tersebut,” katanya.

Terdahulu, MFL sebelum ini mendedahkan status Sumareh sama ada boleh didaftar bakal terjawab sebelum 16 Januari ini selepas PBNP telah menghantar surat permohonan kepada MFL untuk membenarkan pendaftaran Mohamadou Sumareh sebagai pemain tempatan pada 2 Mac 2018.



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!