Liga Malaysia

Pahang tetap mahu daftar Sumareh sebagai pemain tempatan

Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) akan tetap mendaftarkan Mohamadou Sumareh sebagai pemain tempatan untuk saingan Liga Malaysia 2019, meskipun Malaysia Football League (MFL) sebelum ini telah menetapkan mereka hanya boleh berbuat demikian pada bulan Mac.



Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang ketika dihubungi Foxsports berkata sepatutnya tiada masalah untuk pemain kelahiran Gambia itu didaftar sebagai tempatan kerana dia telahpun menyarung jersi Harimau Malaya sebagai pemain naturalisasi dan telahpun diberi taraf kerakyatan yang sah.

“Memang sebelum ini MFL kata Mac baru boleh, tapi kita yakin mereka akan buat pertimbangan dan menangani hal ini dengan bijak.

“Sumareh merupakan warganegara dan pemegang kad pengenalan Malaysia, dia telah diberi kerakyatan yang sah dan telah menyarung jersi Malaysia lebih dari 10 kali. Jadi saya fikir tiada sebab untuk kita menunggu lebih lama,” ujar Suffian.

Sebagai rekod, Sumareh diberikan taraf kerakyatan oleh kerajaan Malaysia pada April tahun lalu dan membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya pada bulan Oktober ketika menewaskan Sri Lanka.

Dia bagaimanapun belum boleh didaftar sebagai pemain tempatan sehingga kini kerana peraturan yang ditetapkan Manual Liga Malaysia meletakkan syarat pemain naturalisasi hanya boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan, lima tahun selepas pemain tersebut mendapat pasport warganegara yang sah.




Namun setelah meneliti permohonan Pahang yang menyatakan Sumareh telah bermastautin di Malaysia sejak berusia 12 tahun, MFL mengurangkan tempoh tersebut kepada satu tahun bermula daripada tarikh permohonan dikemukakan mereka, iaitu 2 Mac 2018.

Seandainya MFL enggan memberi kelonggaran dan kekal dengan keputusan untuk hanya membenarkan Sumareh didaftar sebagai pemain tempatan pada Mac, ia berpotensi merencatkan perancangan Pahang yang sudah bersedia membawa masuk empat pemain import baru untuk memperkasa pasukan, sebagai tambahan kepada Safuwan Baharuddin yang sudah sedia ada dalam skuad.

Skuad kendalian Dollah Salleh itu perlu menunggu sehingga jendela perpindahan kedua dibuka pada bulan Mei untuk membuat sebarang pertukaran.



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!