Liga Malaysia

Messi Ganu kini Messi Selangor

Selangor FA Faiz Nasir

KUALA LUMPUR: Bekas tonggak skuad Terengganu FC (TFC) yang digelar ‘Messi Ganu’, Faiz Nasir menamatkan spekulasi mengenai masa depannya apabila sah menyertai Selangor bagi mengharungi saingan musim 2019.



Perkembangan itu diumumkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menerusi satu video pendek di laman rasmi Facebook mereka, hari ini.

Video terbabit dengan nota ‘He’s here’ (Dia di sini) memaparkan seorang individu yang memakai jaket hitam menutupi kepala sebelum menerima panggilan daripada jurulatih.

Individu itu kemudiannya berlari di perkarangan Stadium Shah Alam disertai dengan kesan khas kilat berwarna merah sebelum memasuki stadium keramat itu.

Kelibat Faiz didedahkan selepas pemain sayap lincah itu memasuki Stadium Shah Alam sekali gus menyaksikan dia menjadi pemain baharu di bawah kendalian jurulatih baharu, B Sathianathan.




Kehadiran Faiz Nasir yang membantu TFC muncul naib juara Piala Malaysia 2018 adalah bukti komitmen FAS untuk menambahkan ketajaman bahagian serangan pasukan Selangor bagi menjulang kejuaraan pada musim 2019.

Dilihat sebagai antara pemain muda yang berkualiti, kehadiran Faiz sudah tentu dapat membantu pasukan baharunya itu menjulang trofi pada musim depan.

Selain Faiz, beberapa pemain baharu yang akan memperkasa skuad The Red Giants bermula musim hadapan termasuklah Norhakim Isa, K Prakabaran dan juga Halim Saari.

Sebelum menandatangani kontrak bersama Selangor, pemain itu dikaitkan untuk menyertai satu lagi pasukan Liga Super iaitu Melaka United (MU).



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!