Harimau Malaya

Liga-M cetus impak Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui beberapa perubahan yang dilakukan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi menambah kualiti saingan liga tempatan memberi impak positif kepada prestasi pemain pada kempen Piala AFF 2018.

Menurut pengendali berusia 50 tahun itu, selain memperkenalkan kuota pemain import ASEAN musim ini, penyusunan jadual oleh badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) membolehkan pemain berada pada tahap terbaik.



“MFL berjaya mencipta satu fenomena lebih meriah dengan kemasukan pemain import termasuk dari ASEAN. Ramai pemain import berkualiti yang dibawa masuk sekali gus membantu perkembangan pemain tempatan.

“MFL juga menyusun jadual dengan baik. Perlawanan kompetitif dari awal hingga hujung musim dapat membantu pemain negara dari segi momentum dan stamina sebelum kempen Piala AFF bermula,” katanya.

Menerusi idea cetusan Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pengendali liga itu mengambil langkah menambah kuota lima pemain import dengan pengenalan kuota ASEAN berbanding empat pemain import bagi pasukan Liga Super sebelum ini.




Selain itu, MFL juga bertindak mengasingkan semula pertandingan Piala Malaysia dengan Liga Super dan Liga Perdana serta mewujudkan Piala Cabaran bagi memastikan semua pasukan mengharungi saingan kompetitif hingga hujung musim.

Malah ketegasan MFL tidak menunda jadual Piala Malaysia ketika Sukan Asia Indonesia berlangsung Ogos lalu meskipun dikritik hebat kerana menimbulkan masalah pelepasan pemain juga banyak membantu Cheng Hoe mempersiapkan pasukan lebih awal.

Selain layak ke final Piala AFF buat kali keempat bertemu Vietnam pada aksi timbal balik 11 dan 15 Disember ini, peningkatan prestasi beberapa pemain muda menerusi pendedahan dalam Liga-M juga amat membanggakan.

Antaranya Syahmi Safari, Syazwan Andik, Irfan Zakaria, Syamer Kutty Abba, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid yang menjadi sandaran Harimau Malaya untuk mengulangi sejarah gemilang Piala AFF 2010.

“MFL membuka kuota pemain muda untuk berada dalam skuad utama dan ini memberi peluang untuk saya beraksi bersama skuad Liga Super Selangor pada 2017 selepas bersama skuad Piala Presiden Selangor 2016.

“Dari situ saya dapat meningkatkan prestasi dengan menimba pengalaman bermain bersama pemain senior dan pemain import,” kata Syahmi yang meledak gol ketika Malaysia seri 2-2 dengan juara bertahan Thailand di Bangkok untuk mara ke final Piala AFF.



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!