AFF Cup

Cheng Hoe akui tugas getir di Bangkok

KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui berdepan laluan berliku bagi mengharungi aksi separuh akhir kedua menentang Thailand selepas terikat dengan keputusan 0-0 pada perlawanan separuh akhir pertama Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.



Skuad Harimau Malaya gagal memanfaatkan aksi di gelanggang sen­diri untuk meraih bekalan selesa menjelang perlawanan timbal balik yang dijadualkan berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand Rabu ini.

Cheng Hoe berkata, barisan pemainnya berjaya mempamerkan peningkatan prestasi ketara berbanding aksi peringkat kumpulan, namun mengakui akan berdepan situasi rumit apabila bertandang di gelanggang lawan.

“Ia merupakan persembahan terbaik ditunjukkan oleh semua pemain berdasarkan peluang yang mereka cipta berbanding aksi-aksi peringkat kumpulan sebelum ini.

“Pasukan juga beraksi dengan bagus dan ia merupakan satu petanda baik untuk berdepan Thailand bagi aksi kedua di Bangkok nanti.

“Sudah pasti laluan tersebut akan lebih sukar memandangkan kita sedar Thailand sudah meledak 14 gol sepanjang aksi peringkat kumpulan di Stadium Rajamangala.

“Bagaimanapun, saya kekal yakin pemain dapat menyerap tekanan penyokong-penyokong tuan rumah, sekali gus mampu menunjukkan keyakinan bagus seperti apa yang persembahkan pada aksi pertama,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan tersebut.

Pada aksi kelmarin, skuad negara terlepas beberapa peluang termasuk kegagalan Safawi Rasid menyudahkan hantaran cantik Mohamadou Sumareh pada minit ke-20.




Peluang terbaik negara juga hadir pada minit ke-26 hasil serangan balas pantas tetapi percubaan Sumareh yang hanya berdepan dengan penjaga gol Thailand, Chatchai Bootprom juga tersasar.

Skuad Gajah Perang hanya meraih satu peluang keemasan menerusi percubaan Nurul Sriyankem tetapi rembatannya dihalang tonggak pertahanan negara, Aidil Zafuan Abd. Radzak.

Cheng Hoe yang juga bekas pengendali skuad Helang Merah tetap yakin Malaysia mampu melakukan kejutan di gelanggang lawan berdasarkan kemampuan yang ada pada skuad negara.

“Saya yakin jika pemain fokus dan kekalkan momentum seperti malam ini (kelmarin), pastinya kita dapat mencari gol apabila beraksi di Bangkok,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad negara bertemu dengan Thailand adalah ketika tewas di pentas final edisi 2014 dengan keputusan agregat 3-4.

Skuad negara pernah menjuarai trofi Piala AFF Suzuki sekali iaitu pada edisi 2010 di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal dengan menewaskan Indonesia 3-2 di pentas final.



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!