AFF Cup

Thailand hanya gah di laman sendiri

PEMAIN Malaysia menjalani latihan di padang Universiti Sains Islam

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Di sebalik kehebatan Thailand menerajui Kumpulan B dan layak ke separuh Piala AFF, skuad Gajah Perang itu sebenarnya mempunyai satu kelemahan yang perlu dimanfaatkan oleh Harimau Malaya, Sabtu ini – mereka tidak terlalu gah apabila beraksi di tempat lawan.



Skuad kendalian Milovan Rajevac itu hanya seri 1-1 ketika menentang Filipina di tempat lawan pada 21 November lalu, rekod yang diharap menjadi motivasi buat anak-anak buah Tan Cheng Hoe untuk memburu kemenangan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Menurut Cheng Hoe, selepas melihat 80,000 tiket habis dijual, dia mahu pemainnya menyerap sema­ngat penonton untuk meraih keputusan terbaik.

“Saya fikir motivasi pemain cukup tinggi selepas menentang Myanmar, Sabtu lalu (menang 3-0).

“Sebagai rakyat Malaysia saya bangga dengan sambutan peminat kerana sokongan mereka dapat memberi motivasi kepada pasukan.

“Ini kerana pemain kita rata-ratanya masih muda dan kita ada masa depan yang panjang untuk tingkatkan prestasi masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.




Begitupun Cheng Hoe mengakui, anak-anak buah Rajevac cukup gah di laman sendiri apabila meledak 14 gol selepas tiga perlawanan di Stadium Rajamangala, Bangkok.

“Thailand ada jentera serangan yang berkualiti dan tajam. Sudah pasti kita perlu mengambil kesempatan bermain di laman sendiri untuk mendapatkan keputusan positif.

“Saya beritahu pemain jangan lupa bertahan kerana serangan balas Thailand berbahaya. Kita juga tidak mahu dibolosi supaya tidak berdepan kesukaran di Bangkok nanti,” katanya.

Mengulas mengenai baya­ngan kesebelasan utama, jurulatih itu tidak menolak kemungkinan mengekalkan pemain yang sama sewaktu menewaskan Myanmar.

“Ada dua hari lagi untuk latihan, apa yang penting semua pemain bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa,” katanya lagi, yang bagaimanapun lega tidak berdepan isu kecederaan.



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!