Liga Malaysia

Tengku Amir Tidak Iktiraf EGM FAS

Related image

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak mengiktiraf keputusan Kongres Luar Biasa (EGM) badan induk itu yang berlangsung di hotel di Seri Kembangan, malam tadi.



Tengku Amir yang juga Raja Muda Selangor (RMS) menjelaskan kongres yang kononnya beliau dipilih sebagai Presiden FAS oleh kumpulan yang menghadiri ‘perjumpaan’ berkenaan juga dilakukan tanpa persetujuan beliau.

Berikutan itu, RMS berkata beberapa memo sudah diedarkan Sekretariat Agung FAS yang mempertikaikan kesahihan ‘perjumpaan’ berkenaan.

“Beta sekali lagi ingin menekankan ‘perjumpaan’ berkenaan tidak sah, tidak mengikut prosedur yang betul dan tidak diiktiraf oleh Beta dan juga persatuan.

“FAS mengadakan beberapa mesyuarat dan perbincangan dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM) dan juga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sejak isu ini timbul dan segala maklumat serta bukti mengapa ‘perjumpaan’ ini tidak sah sudah kami berikan.




“Pendirian Beta mengenai kesahihan ‘perjumpaan’ yang kononnya diadakan itu adalah terbatal dan tidak sah kerana ia tidak memenuhi Artikel 30 yang termaktub dalam Statut FAS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kongres yang berlangsung malam tadi menyaksikan semua jawatan termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan 13 Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAS bagi penggal 2017-2021 menang tanpa bertanding.

Selain RMS kekal Presiden FAS, kongres itu juga menyaksikan bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Muhammad Nasir Hamzah dipilih Timbalan Presiden FAS yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Selain itu, RMS turut mendakwa kumpulan yang mengadakan kongres berkenaan gagal memberi sebarang bukti kepada PSM dan FAM bagi menunjukkan mereka mempunyai korum mencukupi untuk mengadakan kongres.

“Selain itu, kumpulan berkenaan juga gagal mendapatkan korum secukupnya semasa kononnya ‘perjumpaan’ kongres itu yang diadakan pada 8 November.

“Justeru, Beta menolak dan tidak mengiktiraf sebarang keputusan yang dibuat pada perjumpaan itu, termasuk ahli jawatankuasa FAS yang baharu dilantik,” katanya. – BH Online



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!