Liga Malaysia

Penyokong cadang MB jadi Presiden PAFA

Image result for Seri Ahmad Faizal Azumu

IPOH: Beberapa kelab penyokong bola sepak Perak mencadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) yang baharu.

Presiden Die Hard Fanz Perak, Roslan Mat Baharom, berkata pemimpin nombor satu negeri itu adalah individu yang layak memegang jawatan itu demi masa depan bola sepak Perak.

Katanya, isu yang melanda PAFA sekarang membawa kepada peletakan jawatan presidennya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim semalam.



Hasnul dikecam teruk akibat caranya mengendalikan trofi Piala Malaysia selepas Perak memenangi perlawanan akhir menentang Terengganu pada 27 Oktober lalu.

“Presiden PAFA sudah letak jawatan semalam dan mengakui kesilapannya, susulan itu kami sebagai penyokong bola sepak Perak sudah berbincang serta bersatu hati mencadangkan Menteri Besar bagi mengisi kekosongan itu.

“Ini susulan tampuk kepimpinan PAFA ketika ini tidak nampak ‘bayang’ lagi yang sesuai menerajui sukan nombor satu diminati rakyat Perak ini,” katanya.

Roslan ditemui dalam sidang media bersama beberapa wakil kelab penyokong bola sepak Perak antaranya Kelab Peminat Bolasepak Perak, PAFA Fan Club, Ipoh City Fan, Seladang Fan Club, Support Fan of Perak dan wakil daripada kelab penyokong daerah-daerah lain.

Menurutnya, presiden PAFA dari kalangan Menteri Besar bukanlah perkara baharu tetapi sudah berlaku sebelum ini dan ternyata membawa kejayaan kepada pasukan Perak.

“Apabila Menteri Besar sendiri menjadi presiden ia akan memudahkan sumbangan tajaan dalam memastikan kelancaran sukan nombor satu ini.

“Isu-isu lain seperti penjualan tiket juga akan lebih mudah ditangani selain pembangunan bola sepak negeri secara holistik dapat dilakukan,” katanya.

Sementara itu, wakil PAFA Fan Club Gerik, Mohd Shazman Rosli, berkata dengan peletakan jawatan Hasnul diharapkan semua penyokong dapat menghentikan kecaman dan hadir beramai-ramai di Kuala Kangsar pada Ahad ini untuk meraikan kemenangan Piala Malaysia.

“Harap isu kecaman pada Hasnul selesai dan kami sebagai penyokong mahukan Menteri Besar sebagai presiden baharu.

“Jadi marilah beramai-ramai hadir Ahad ini demi semangat cintakan bola sepak Perak,” katanya.



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!