FAM

Subkhiddin tak ‘goyang’ dengan desakan

Image result for Subkhiddin Mohd Salleh

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menegaskan tidak akan tunduk kepada sebarang desakan yang mahu beliau meletakkan jawatan.

Bekas pengadil FIFA itu dilantik untuk menerajui jawatankuasa berkenaan pada 19 April 2017 iaitu hampir sebulan selepas beliau memenangi kerusi Exco FAM pada pemilihan FAM.



Bagaimanapun Subkhiddin dikecam hebat pelbagai pihak susulan mutu pengadilan yang teruk pada final Piala Malaysia antara Perak dan Terengganu di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Ramai yang tidak berpuas hati dengan keputusan bekas pengadil Piala Dunia itu memilih Suresh Jayaraman untuk mengadili perlawanan yang berakhir dengan penuh kontroversi.

Bagaimanapun Subkhiddin menyatakan beliau seorang yang memiliki prinsip dan bukannya seperti ‘lembu yang dicucuk hidung’.

“Saya ada prinsip, saya tak perlu ikut cakap orang. Kalau saya tak boleh buat (pegang jawatan), saya sendiri boleh ucap selamat jalan (letak jawatan).




“Saya bukan kaki ampu, saya ada maruah diri dan tak perlu hidup atas ihsan orang lain,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP di Auckland, New Zealand.

Pada final itu, Suresh didakwa gagal mengadili perlawanan dengan baik yang menyaksikan dua kad merah dilayangkan sebelum Perak ditabal juara hasil penentuan sepakan penalti 4-1 selepas terikat 3-3 dalam aksi sebenar.

Antara yang lantang mahu Subkhiddin meletakkan jawatan adalah bekas Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang tidak berpuas hati dengan prestasi buruk Suresh.

Subkhiddin berkata, beliau tidak tertekan sebaliknya bosan dengan sikap segelintir pihak yang hanya mahu mencari kesalahan orang lain.

“Saya tak tertekan tapi ‘fedup’ dengan sikap orang kita yang tak faham tentang bola sepak. Ada orang yang nak lepas diri sendiri letak kesalahan kepada pengadil.

“Pemain yang tidak menghormati pengadil macam mana? Kalau cakap pasal fair play pada perlawanan itu, kenapa pemain Perak tak sepak bola keluar? (Untuk hentikan perlawanan ketika pemain Terengganu cedera).

“Memang saya akan bertanggungjawab kerana memilih Suresh, tapi saya berikan tugas itu selepas penilaian dibuat, dia berkemampuan. Tapi apa yang berlaku di atas padang di luar kawalan saya,” katanya yang bersara menjadi pengadil pada 2011.



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!