Harimau Malaya

VIDEO Sumareh cetus kebangkitan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan sebelum membenam Sri Lanka 4-1 dengan penyerang naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh menyumbat dua gol pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sugathadasa, Colombo sebentar tadi.



Empat gol yang dihasilkan dalam tempoh 25 minit terakhir berjaya mengelak aib skuad kendalian Tan Cheng Hoe daripada dimalukan Sri Lanka yang pernah dibelasah 6-0 pada pertemuan terakhir pada 28 April 2012.

Beberapa pertukaran dilakukan oleh Cheng Hoe bagi kesebelasan utamanya ketika mengalahkan Kemboja 3-1 pada aksi persahabatan antarabangsa di Phnom Penh, 10 September lalu.

Penyerang berpengalaman Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, pemain pertahanan Matthew Davies, Adam Nor Azlin, pemain tengah Syamer Kutty Abba dan penjaga gol Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy antara yang diberi peluang beraksi kali ini.

Di atas kertas, Sri Lanka yang berada di ranking ke-199 dunia nyata bukan tandingan namun sebaliknya berlaku apabila skuad bimbingan Mohamed Packeer Ali itu berjaya memberi tekanan kepada skuad Harimau Malaya (ranking 171) sejak awal permainan.

Menerusi satu serangan pantas, pasukan tuan rumah berjaya mendahului apabila Asela Madushan mudah menolak masuk bola tampanan Hafizul Hakim pada minit ke-29.




Image may contain: one or more people and outdoor

Gagal mengubah kedudukan pada babak pertama, Cheng Hoe melakukan rombakan selepas rehat dengan membawa masuk pemain naturalisasi, Sumareh membuat penampilan sulung selain penyerang muda Akhyar Rashid.

Malaysia yang menggandakan asakan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas penjaga gol Sri Lanka, Sujan Perera gagal menangkap kemas bola hantaran lintang Davies yang pantas dihukum Norshahrul pada minit ke-65.

Kelegaan jelas terpancar di wajah pemain negara apabila Adam meletakkan skuad negara di depan pada minit ke-76 apabila menanduk masuk bola hantaran sudut pemain gantian Syazwan Andik Ishak.

Sumareh, pemain kelahiran Gambia yang mendapat kerakyatan Malaysia, menjadi pencetus jaringan ketiga apabila bola hantaran lintang pada minit-85 terbias pemain pertahanan lawan sebelum menerjah ke jaring dan dia kemudian menambah gol keempat pada minit ke-91 menerusi gerakan satu-dua dengan Akhyar.

Selepas aksi di Colombo, skuad negara dijadual berdepan lawan lebih hebat Kyrgyzstan yang menduduki ranking ke-91 dunia di Stadium Hang Jebat, Melaka, Selasa ini dan satu lagi aksi persahabatan menentang Maldives pada 3 November depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai persediaan menghadapi Piala AFF 2018.



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!