Liga Malaysia

Beta tidak bersetuju adakan Kongres Luar Biasa – Tengku Amir

Image result for Tengku Amir Shah

KUALA LUMPUR: Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan tindakan segelintir ahli gabungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang sengaja memporak-perandakan keharmonian persatuan, dengan membangkitkan isu remeh dan mendesak Kongres Luar Biasa (EGM), sekali gus merombak keseluruhan Exco yang baharu dilantik pada Julai lalu.

Tengku Amir yang juga Presiden FAS menegaskan, agenda perubahan yang rancak dilakukan termasuk menutup peluang melakukan ketirisan, merombak jawatankuasa kecil yang tidak efektif dan meneliti perkara yang sangsi, jelas membuatkan beberapa pihak merasa tidak selesa.



Malah, baginda turut melabelkan tindakan mereka sebagai suatu ‘rampasan kuasa’ demi menjaga kedudukan dalam badan induk bola sepak negeri itu.

“Beta tidak bersetuju untuk EGM ini dipanggil. Beta tidak memahami mengapa rombakan perlu dilakukan apabila kerja baharu sahaja mula dilakukan, lebih-lebih lagi apabila sebab yang diberikan amat lemah.

“Akan tetapi, beta tidak menyalahkan ahli gabungan kerana percaya mereka sudah dimanipulasi, ditipu malah diugut oleh beberapa individu untuk menandatangani memorandum terbabit.

“Individu ini adalah serigala berbulu domba, penuh dengan kepentingan diri sendiri dan bukannya hendak bekerjasama demi kemajuan FAS,” kata Tengku Amir yang dilantik sebagai Presiden, menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal yang melepaskan jawatan pada Julai lalu.

Baginda turut kecewa dengan sikap ahli gabungan yang gemar memanipulasi dan mengambil kesempatan di atas Statut FAS, bagi menjatuhkan beberapa pihak biarpun barisan kepimpinannya tidak melakukan kesalahan di dalam persatuan.

“Apabila beta membuat kenyataan pada 5 Jun lalu, selepas menerima pencalonan sebagai Presiden, beta nyatakan secara terang bahawa perubahan menyeluruh harus dilakukan.

“Akan tetapi terdapat individu tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan menggunakan Statut FAS yang sudah diolah mereka, untuk melindungi diri sendiri.

“Sebagai contoh, alasan yang digunakan untuk mengadakan EGM langsung tidak munasabah, tetapi ia masih boleh diteruskan dan perkara ini sangat tidak masuk akal.




“Beta juga merasa sangat terkilan kerana masa ini patut digunakan untuk meneliti dan merancang untuk persiapan musim tahun hadapan, termasuk mencari penaja bagi menambah dana persatuan.

“Sebaliknya, langkah tidak bertanggungjawab ini menyebabkan masa orang yang jujur dan bekerja keras demi FAS dibuang begitu sahaja. Tambahan pula, beta murka apabila terdapatnya Exco yang menyokong pergerakan EGM ini secara terbuka, walaupun ianya bukan pendirian majoriti besar Exco termasuk beta ” katanya.

Menerusi pendedahan Sukan NSTP sejak Selasa lalu, segelintir ahli gabungan FAS yang diketuai Presiden Kelab Bolasepak Frenz United, Roslin Shariff mendesak EGM diadakan.

Mereka mendakwa hak dan kepentingan ahli gabungan ditindas dan diketepikan termasuklah pemecatan 55 individu dan wakil dari kelab gabungan menganggotai Jawatankuasa Tetap FAS tanpa sebab munasabah.

Malah, beliau turut mendakwa pelantikan dua Naib Presiden iaitu Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal Hamidon dibuat secara tidak sah, namun ia disangkal Timbalan Presiden, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang mengesahkan pelantikan itu terbabit adalah sah kerana mengikut Statut FAS.





0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!