Harimau Malaya

Shahrel taring baharu Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Impak berkesan ditampilkan penyerang Nakhon Ratchasima, Shahrel Fikri Md Fauzi menjadi senjata terbaharu buat skuad Harimau Malaya terutamanya bagi menghadapi saingan di Piala AFF, November depan.

Selepas trio ‘SAS’ yang diketuai Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad diangkat sebagai peledak masa depan negara, kini muncul Shahrel untuk menyertai senarai peledak utama skuad negara selepas ini.



Menurut bekas pemain kebangsaan, Azraai Khor Abdullah, pendedahan beraksi di Liga Thailand nyata mematangkan permainan Shahrel apabila dia berjaya memacu kebangkitan skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk meraih kemenangan 3-1 ke atas Kemboja biarpun ketinggalan pada babak pertama.

“Inilah dikatakan skuad masa depan Malaysia yang mana pemain muda dilihat sudah mampu untuk mengisi tempat dalam skuad senior kebangsaan.

“Selepas adanya kelompok pemain dari skuad bawah 23 tahun (B-23) seperti Safawi, Akhyar dan Syafiq, sekarang saya lihat Shahrel juga mampu memikul tanggungjawab di bahagian depan.

“Kemasukan dia (Sharel) sebagai pemain gantian pada babak kedua jelas mengubah corak persembahan khususnya di jentera serangan apabila dia kerap melakukan larian serta bijak membuka ruang untuk memasuki kubu lawan.

“Saya kira ini hasil positif bermain di luar negara yang berjaya mematangkan permainannya selain menanam keyakinan tinggi dalam dirinya apabila turun beraksi di peringkat tertinggi seperti perlawanan antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Pada aksi persahabatan di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh semalam, anak buah Cheng Hoe dikejutkan dengan gol awal pasukan tuan rumah hasil jaringan Soeuy Visal pada minit ke-17.

Kem negara yang terdesak untuk mencari kemenangan selepas tumbang 0-2 di tangan Taiwan dalam aksi persahabatan di Taipei Jumaat lalu, membuat tiga pertukaran serentak dengan memasukkan Shahrel, Amirul Azhan Aznan dan Fazly Mazlan pada minit ke-58 dan ia jelas membuahkan hasil.




Shahrel menjadi pencetus kebangkitan apabila mencipta dua bantuan gol buat Shahrul Saad dan Syazwan Andik Ishak sebelum dia sendiri mencetak gol pertamanya di pentas antarabangsa untuk gol ketiga pada masa kecederaan.

“Saya lihat jika pemain muda ini dapat beraksi sebagai satu unit, tidak mustahil mereka tampil cukup tajam pada Piala AFF nanti dengan dibantu beberapa pemain senior di tengah dan pertahanan,” katanya.

Malaysia yang diundi bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar dalam Kumpulan A pada Piala AFF, akan meneruskan aksi persahabatan menentang Sri Lanka di Colombo pada 8 Oktober depan, Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat, Melaka (12 Oktober) dan Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil (3 November).



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!