Malaysia B23

Kami silap kerana melawan – Muhamad Syazwan

PEMAIN pertahanan skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Muhamad Syazwan Zaipol Bahari tampil dengan sikap profesional mengakui kesilapan dilakukannya dan rakan sepasukan lain apabila bertindak balas terhadap tindakan ‘kurang cerdik’ pemain Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohammad Khalfan Al-Harazi .



Pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam itu, pergaduhan pemain tercetus pada masa kecederaan babak kedua yang menyaksikan perlawanan berkenaan berakhir memihak kepada skuad negara dengan keputusan 2-0.

Muhamad Syazwan berkata, insiden itu tidak sepatutnya berlaku ketika skuad negara sedang mendahului lawan namun tindak balas itu berlaku secara spontan selepas Mohammad Khalfan bertindak menyiku seorang lagi pertahanan negara, Muhammad Adib Zainudin.

“Saya tahu mereka ada meludah dan pijak tetapi yang (insiden) dengan Adib itu saya dapat lihat jelas depan mata saya. Adib cuma halang dia tetapi tiba-tiba dia (Mohammad Khalfan) naik tangan dan ketika itu Adib berdarah di bahagian bibir.

“Ia spontan kerana saya bukan orang seperti itu. Ia diluar kawalan namun apa pun saya juga ada silap kerana ketika sedang mendahului, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku.




Kalau ikutkan mereka yang cetuskan dulu. Ini pengajaran dan pembelajaran untuk kami. Kami perlu kawal diri dan mengelak situasi ini ketika sedang mendahului pasukan lawan bagi mengelak ‘rugi pemain dan tenaga’,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan semalam.

Pada saingan Sukan Asia di Indonesia nanti, Malaysia diundi bersama Korea Selatan, Bahrain dan Kyrgyzstan dalam Kumpulan E.

Ketika ditanya perasaan untuk menghadapi pasukan Arab lain, Muhamad Syazwan berkata insiden dengan UAE nyata mematangkan pemain untuk mengawal emosi ketika berdepan sebarang kemungkinan.

“Mungkin mereka tidak boleh terima kita sedang mendahului mereka dan mungkin mereka pandang rendah kepada kita. Kita sudah tahu bagaimana tindakan mereka,” katanya.



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!