Liga Malaysia

Persatuan Bola Sepak Sarawak Rayu Denda Dikurangkan

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) memutuskan untuk membayar denda yang dikenakan Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).



Persatuan bola sepak negeri itu dikenakan denda sebanyak RM500,000 gara-gara gagal melengkapkan dokumen pendaftaran sehingga tarikh tutup berakhir pada 5 Mac lalu.

Namun Presiden FAS, Datuk Posa Majais berharap pihak FMLLP dapat mengurangkan jumlah denda yang dikenakan itu.

“Kami akan bayar denda tetapi harap jumlah itu dapat dikurangkan.

“Surat rayuan sudah pun kami hantar,” jelasnya kepada mStar Online.

Enggan mengulas lebih lanjut, Posa berharap semua akan berjalan lancar dan mendapat keputusan rayuan yang positif selepas ini.




Sarawak FA antara enam pasukan Liga Premier yang dikenakan denda tersebut.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP memberitahu, rayuan semua pasukan terbabit akan diputuskan ahli lembaganya dan berharap keputusannya akan diketahui sebelum Kongres FMLLP pada 25 Mac ini.




Sekiranya rayuan itu berjaya, FMLLP akan mengembalikan baki geran yang ditolak kepada persatuan terbabit.

Mana-mana pasukan Liga Super (empat pasukan) atau Liga Premier yang dikenakan denda ini, geran tahunan mereka akan ditolak mengikut jumlah yang ditetapkan.

Pasukan Liga Super akan menerima geran tahunan sebanyak RM3 juta (tolak denda RM1.5 juta), manakala Liga Premier sebanyak RM1 juta (tolak denda RM500,000).



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!