Liga Malaysia

VIDEO Benam PKNP, Melaka United Raih Kemenangan Ketiga

MELAKA: Melaka United (MU) meraih kemenangan ketiga di pentas Liga Super selepas mengatasi PKNP 2-0, di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.



Turun dengan keazaman tinggi meraih mata maksimum menyaksikan jurulatih Eduardo Almeida menurunkan barisan terbaik untuk mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri.

Hasilnya, skuad Hang Tuah berjaya mencetak gol pertama pada minit ke-14, selepas import kelahiran Belarus, Yahor Zubovich menyambut hantaran G Puneswaran untuk skuad tuan rumah mendahului pelawat.

Malah Zubovich turut sekali berpeluang menambah koleksi jaringan peribadinya menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-22, namun berjaya diselamatkan penjaga gol, Tian Keat See.




Nicholas Swirad hampir menambah jaringan kedua buat skuad Sang Kancil, namun tandukannya pada minit ke-43 tinggi melepasi palang gol pelawat.

Aksi di babak pertama menyaksikan anak buah jurulatih Abu Bakar Fadzim turut melakukan asakan untuk mencari jaringan penyamaan, namun kekentalan pertahanan tuan rumah memastikan setiap usaha mereka buntu.




Bersambung di babak kedua, PKNP mencipta peluang lebih berbahaya, namun dua percubaan kapten pasukan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-54 dan minit ke-58 gagal menewaskan penjaga gol MU, Mohd Zamir Selamat.

Zubovich sekali lagi membuktikan ketajamannya apabila merembat kencang dari jarak kira-kira 25 meter untuk gol kedua MU pada minit ke-88, sekaligus melenyapkan sisa-sisa perjuangan PKNP untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata di bumi Hang Tuah.

Kemenangan itu membolehkan MU mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri, sekaligus meningkatkan semangat mereka menjelang aksi pusingan ketiga Piala FA, berdepan Kuala Lumpur 17 Mac depan di gelanggang sama.



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!