Kedah

SPRM sahkan KFA bebas rasuah dalam isu tiket

ALOR SETAR 22 Dis. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada unsur rasuah oleh mana-mana pihak berhubung isu penjualan tiket final Piala Malaysia oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) seperti didakwa segelintir pihak sebelum ini.

Sumber dalaman SPRM memaklumkan, suruhanjaya itu bagaimanapun telah membuka kertas pemeriksaan dan perundingan untuk memastikan kekecohan sama tidak berulang pada masa depan.



“Tindakan itu dibuat untuk mengatasi kelemahan-kelemahan dalam amalan, sistem serta tatacara kerja sesebuah organisasi.

“Dalam hal ini, kami akan mengadakan beberapa pertemuan dengan KFA bagi mengenal pasti sebarang kelemahan yang menyebabkan kekecohan sehingga timbul dakwaan berlaku rasuah dalam penjualan tiket tersebut.

“Apabila kami sudah mengenal pasti kelemahan dan puncanya, kami akan bentangkan kepada KFA mengenai cara memperbetulkan dan memperkemaskan kelemahan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, setelah cadangan itu dibentangkan, KFA akan ada perjanjian antara kedua-dua pihak di mana KFA diberi tempoh selama setahun untuk melaksanakan cadangan-cadangan tersebut.

“Sekiranya mereka gagal melaksanakan perkara yang dijanjikan, maka kami boleh mengambil tindakan mengikut akta tertentu,” katanya.




Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Shaharol Niza Omar ketika dihubungi memberitahu, pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh SPRM baru-baru ini.

“Kami berterima kasih kepada SPRM yang menjalankan tugas dengan cukup profesional. Ketika mereka menjalankan siasatan sebelum ini, kami tidak pernah gagal mengemukakan sebarang dokumen termasuk ke mana tiket-tiket itu dijual.

“Ini membuktikan yang KFA sentiasa telus dalam menjalankan tugas demi peminat bola sepak Lang Merah. Tiada apa yang mahu disembunyikan dan atas sebab itu, kami akan terus memberi kerjasama kepada SPRM untuk segala tindakan selepas ini,” katanya.- UTUSAN



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!