Kedah

KFA Ke Arah Penswastaan Menjelang 2020

KERAJAAN Kedah menyokong usaha untuk menswastakan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menjelang 2020 kerana ia dapat mengurangkan beban kerajaan negeri untuk menyuntik dana bagi menguruskan persatuan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan Kedah, Datuk Aminuddin Omar (gambar) berkata, penswastaan itu membolehkan peruntukan untuk KFA dimanfaatkan buat rakyat negeri Jelapang Padi itu.



“Kerajaan negeri bersetuju untuk menswastakan KFA kerana dengan itu, kerajaan negeri tidak lagi bertanggungjawab untuk memberi suntikan kewangan (kepada KFA).

“(Selepas penswastaan) kalau hari ini kita sebut KFA, mungkin kita tengok jadi KDFC (Kedah Darulaman Footbal Club). Kalau nak pakai KFC (Kedah Footbal Club), nanti ada yang kata mudah kena ratah, itu kita tengok mana sesuai.

“Tujuan penswastaan adalah untuk meningkatkan kemampuan urus pasukan kerana bajet RM27 juta diperlukan untuk semua pengurusan mengendalikan KFA setiap tahun.

“Kita berterima kasih kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selaku Presiden KFA yang menunjukkan komitmen baik, sokongan dan dokongan terutama dalam memastikan keselesaan kewangan persatuan melalui sokongan penaja,” katanya.

“Seperti yang dikatakan dalam sidang DUN (Dewan Undangan Negeri), duit tersebut boleh dibelanjakan ke arah lain yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas sidang DUN di Wisma Darul Aman di Alor Setar semalam.

Kata beliau, langkah penswastaan itu juga mempunyai kesan buruk kepada penyokong terutama dalam soal harga tiket yang mungkin menjadi lebih mahal.




Aminuddin berkata, pihaknya bagai–manapun akan memurnikan usaha ke arah penswastaan tersebut agar tidak membebankan mana-mana pihak, sekali gus membolehkan badan induk bola sepak negeri tersebut lebih berdaya saing.

Terdahulu, beliau memberitahu, KFA mempunyai hasrat untuk menswastakan KFA selaras dengan hasrat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun masih belum mempunyai kemampuan untuk merealisasikannya.

“Berdasarkan hasil kutipan tiket iaitu RM3.2 juta pada 2016 dan RM4 juta pada 2017 di Stadium Darul Aman tetapi keperluan untuk mengurus pasukan lebih daripada itu.

“Dalam soal pembayaran gaji untuk pemain-pemain Liga Super sahaja lebih RM800,000 sebulan dan dianggarkan RM27 juta setahun dibelanjakan untuk bayaran urus kendali KFA,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri sememangnya dalam misi penswastaan KFA bagi memastikan hala tuju persatuan berada di landasan terbaik.




“Kita memang ke arah untuk swastakan dan berusaha me–realisasikannya seperti dihasratkan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), cuma kerajaan negeri rasakan belum mampu nak swastakan kerana nak cari penaja dan teraju untuk swasta akan ambil masa. Apa pun usaha ke arah itu sudah pun kita jalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd. Nasir Mustafa (Pas-Kubang Rotan) sama ada KFA sudah mampu berdikari dan diberi peluang kepada sumber lain untuk menguruskan badan induk bola sepak tersebut.

Kepada soalan tambahan Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah) berhubung status Kedah dalam saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Aminuddin berkata, KFA berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan lesen bagi membolehkan skuad Helang Merah beraksi dalam saingan itu.

“Kita belum terima surat rasmi daripada FAM yang mengatakan Kedah tak layak. Kenyatan juga dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, mengesahkan belum ada keputusan rasmi,” katanya.



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!