FAM

Buang semua pemain senior Harimau Malaya – Jamal Nasir

Image result for Datuk Jamal Nasir Ismail

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Dua aksi semput yang dipamerkan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara baru-baru ini perlu dilihat sebagai desakan agar dilakukan perubahan menyeluruh ke atas skuad Harimau Malaya, terutama ke­rana mereka akan berdepan dengan Piala AFF tahun depan.



Bekas pemain bola sepak kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, jurulatih Nelo Vingada tidak boleh dipersalahkan atas prestasi skuad kebangsaan sebaliknya proses baik pulih harus melibatkan barisan pemain.

Jamal Nasir berkata, semua pemain senior yang berada dalam pasukan kebangsaan sekarang tidak seharusnya dipanggil lagi untuk menyarung jersi negara dan sebaliknya Vingada harus memberikan peluang kepada junior mereka daripada skuad Bawah 19 tahun (B-19) dan Bawah 22 tahun (B-22).

Legenda skuad Pahang itu percaya adunan pemain muda daripada dua pasukan remaja itu mampu meraih keputusan positif dalam kempen Piala AFF 2018 setelah mereka membuktikan kemampuan apabila layak secara merit ke pusingan akhir Piala AFC B-19 dan B-23 pada tahun depan.

“Sudah tiba masanya untuk pemain baharu diberikan peluang beraksi untuk Harimau Malaya dan pasukan memerlukan semangat yang lebih segar.

“Saya fikir semua pemain senior yang ada ketika ini harus dibuang, bukan jurulatih, ke­rana saya melihat mereka tidak cukup kualiti.

“Berbeza dengan pemain B-19 dan B-23, mereka dilihat bersemangat bermain untuk negara malah saya percaya sekiranya mereka ini memperoleh peluang pasti akan dimanfaatkan dengan sebaiknya.

“Sekiranya kalah sekali pun, kekecewaan itu tidaklah terasa sangat kerana mereka masih baharu berbanding pemain se­nior,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.




Skuad bimbingan Bojan Hodak berjaya menempah tiket ke kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Indonesia tahun depan setelah meletakkan diri mereka dalam kelompok kelima naib juara kumpulan terbaik di peringkat kelayakan yang menutup tirai­nya pada Khamis lepas.

Pencapaian sama dipamerkan oleh skuad B-22 negara yang mengesahkan tempat secara automatik ke pusingan akhir Piala AFC B-23 di China Januari tahun depan.

Anak didik Datuk Ong Kim Swee itu layak selepas muncul juara Kumpulan H dalam kelayakan yang berlangsung di Bangkok pada Julai lalu dengan mengumpul enam mata, me­ninggalkan Thailand sebagai naib juara dengan lima mata.

Berbeza dengan pencapaian dua skuad junior itu, skuad senior tidak pernah menang dalam tujuh perlawanan sejak berada di bawah bimbingan Vingada yang menggantikan Kim Swee Mei lalu.

Kekalahan berganda mereka kepada Korea Utara yang dianggap peminat berlaku secara terlalu mudah dengan 1-4 dalam kedua-dua perlawanan dalam Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand menyebabkan pelbagai pihak mendesak sesuatu dilakukan, termasuk memecat Vingada. – Utusan



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!